Learning Hub
ENG
BM
CHI
Sebagai seorang dewasa yang bekerja, salah satu perkara yang menyeronokkan apabila kita memperoleh pendapatan adalah kita dapat membeli apa sahaja yang kita inginkan bagi memenuhi gaya hidup kita. Kebiasaannya, gaji anda akan meningkat seiring dengan tempoh perkhidmatan anda. Situasi ini boleh mendorong anda untuk berbelanja lebih daripada sebelumnya. Apabila anda mula berbelanja lebih seiring dengan peningkatan pendapatan anda, anda sebenarnya sedang berdepan inflasi gaya hidup.
Meskipun inflasi gaya hidup boleh menceriakan hari-hari anda, namun ia juga boleh mendatangkan masalah. Apatah lagi jika anda mula bergantung pada gaji bulanan untuk menampung gaya hidup anda dan terus berada dalam situasi kewangan yang sama tidak kiralah berapa banyak peningkatan gaji yang anda peroleh dari masa ke masa. Perkara ini mungkin jadi lebih menakutkan sekiranya anda semakin tersasar daripada landasan untuk mencapai matlamat kewangan peribadi anda.
|
|
Untuk mengelakkan situasi seperti ini berlaku, anda perlu mengambil langkah untuk memastikan bahawa anda tidak akan terjerat dengan perangkap inflasi gaya hidup. Anda boleh mula merangka belanjawan untuk membantu diri anda mengutamakan perbelanjaan. Belanjawan bukan sahaja akan membantu anda untuk membahagikan wang bagi tujuan pembayaran bil, melangsaikan hutang, menyimpan untuk kecemasan dan lain-lain. Malah dengan adanya belanjawan, anda akan ketahui sama ada peruntukkan anda mencukupi mahupun tidak untuk membeli barang yang anda inginkan dan untuk tujuan-tujuan lain yang penting buat anda.
Pada masa sama, ketepikan wang anda untuk tujuan pelaburan dalam usaha untuk membina kekayaan di samping membantu anda mencapai matlamat kewangan peribadi anda. Jika anda merasakan anda masih terlalu muda untuk mula melabur, anda mungkin silap. Anda seharusnya mula melabur secepat mungkin supaya anda boleh memanfaatkan kuasa pengkompaunan. Bahkan, pelaburan juga dilihat penting kerana wang anda tidak dapat mengatasi inflasi jika anda hanya menyimpannya dalam akaun bank biasa.
Dengan melaksanakan perkara-perkara seperti yang dinyatakan di atas, ia tidak bermakna anda tidak boleh menikmati pendapatan hasil titik peluh anda. Sebaliknya, anda berhak untuk menikmati setiap pencapaian tersebut kerana anda telah pun bekerja keras. Oleh itu, jangan lupa untuk ketepikan wang anda agar anda dapat memberi ganjaran buat diri anda sendiri serta orang yang anda sayangi! Apa yang perlu anda pastikan adalah anda tidak mengorbankan masa depan kewangan anda.
Setelah mengambil langkah untuk mengelakkan diri anda daripada terjerumus ke perangkap inflasi gaya hidup, anda boleh fokus untuk memastikan matlamat kewangan anda menjadi realiti seterusnya mencapai kebebasan kewangan yang anda impikan.
|
Artikel ini disediakan semata-mata untuk tujuan pendidikan dan kesedaran serta tidak boleh dianggap sebagai satu tawaran atau usaha mendapatkan satu tawaran untuk membeli atau melanggan produk yang ditawarkan oleh Public Mutual. Tiada sebarang perwakilan atau jaminan dibuat oleh Public Mutual, dan Public Mutual tidak menerima sebarang tanggungjawab atau liabiliti berhubung kait dengan ketepatan, kesempurnaan atau kesesuaian maklumat yang terkandung di dalamnya.