Sejak kebelakangan ini, ramai pelabur semakin bimbang dengan keadaan ekonomi global dan bagaimana ia boleh mempengaruhi pelaburan mereka.
Artikel ini akan menerangkan apakah yang dimaksudkan dengan kemerosotan ketara dan pemulihan bertahap untuk ekonomi global dan apakah maksud kedua-dua istilah berkenaan kepada pelabur.
1. Apakah maksud kemerosotan ketara dan pemulihan bertahap?
Berikutan jangkaan pasaran terhadap ekonomi global yang perlahan, ahli ekonomi sedang menilai sama ada kelembapan ini akan mengakibatkan kemerosotan ketara mahupun pemulihan bertahap. Istilah-istilah ini biasanya digunakan untuk menggambarkan tahap kemelesetan ekonomi daripada kadar pertumbuhan semasanya.
Amnya, pemulihan bertahap berlaku apabila ekonomi mengekalkan kelembapan sederhana yang memperlihatkan perbelanjaan pengguna dan pelaburan berkurangan, tetapi tetap mencatatkan pertumbuhan positif atau pertumbuhan yang mendatar. Sebagai perbandingan, kemerosotan ketara menggambarkan kemelesetan dengan penguncupan yang mendadak dalam perbelanjaan sekali gus mengakibatkan ramai pekerja kehilangan pekerjaan dan syarikat mengurangkan pelaburan modal mereka dengan begitu ketara.
Pemulihan bertahap boleh diibaratkan seperti pendaratan sebuah kapal terbang yang lancar di atas landasan. Meskipun terdapat beberapa masalah kecil, namun secara keseluruhannya, ia adalah pendaratan yang selamat. Sebaliknya, pendaratan keras (hard landing) dalam konteks aeroangkasa pula berlaku apabila pesawat terpaksa melakukan pendaratan kecemasan yang boleh mengakibatkan kerosakan pada pesawat dan/atau kecederaan kepada penumpang.
2. Kemerosotan ketara dan pemulihan bertahap untuk ekonomi A.S. pada masa lalu
Pada tahun 2000-an, ekonomi Amerika Syarikat (A.S.) mengalami pemulihan bertahap (pada tahun 2001 selepas ledakan dotcom (dotcom boom) dan serangan pengganas 11 September) dan kemerosotan ketara (semasa Krisis Kewangan Global 2008-2009 atau dikenali sebagai GFC). Berikutan pertumbuhan ekonomi A.S. yang sederhana daripada 4.1% pada tahun 2000 susulan ledakan dotcom kepada 1.0% pada tahun 2001 kerana kebanyakan pengguna dan syarikat terus berbelanja dan melabur, situasi kelembapan ekonomi ini diklasifikasikan sebagai ‘pemulihan bertahap’.
Walau bagaimanapun, semasa berlakunya GFC pada tahun 2008-2009, pertumbuhan ekonomi A.S. merosot dengan mendadak daripada 2.0% pada tahun 2007 kepada 0.1% pada tahun 2008. Ia kemudiannya menguncup sebanyak 2.6% pada tahun 2009 susulan krisis kewangan di A.S. dan Eropah yang telah memberi kesan yang ketara kepada pengguna serta perniagaan di A.S. seterusnya mengakibatkan 'kemerosotan ketara'.
3. Bagaimanakah prestasi pasaran saham semasa kemerosotan ketara dan pemulihan bertahap pada masa lalu?
Memandangkan keadaan ekonomi merupakan salah satu faktor utama yang mempengaruhi perolehan korporat, maka kadar kelembapan ekonomi akan memberi kesan kepada momentum perolehan korporat seterusnya mempengaruhi harga saham syarikat yang tersenarai. Rajah 2 menunjukkan contoh bagi kesan kemelesetan pertumbuhan ekonomi yang ketara ke atas pasaran ekuiti A.S..
Secara umumnya, pemulihan bertahap memberikan kesan yang sederhana terhadap portfolio pelaburan pelabur. Sebaliknya, kemerosotan ketara boleh menyebabkan keadaan pasaran yang lebih tak menentu dan mempunyai kesan yang lebih besar ke atas portfolio pelabur dalam tempoh terdekat.
Dalam pada itu, meskipun berlaku kemelesetan akibat pandemik Covid-19 pada tahun 2020, namun Indeks S&P 500 telah mencatatkan keuntungan tahunan sebanyak 16.3% pada tahun berkenaan apabila langkah rangsangan fiskal dan monetari yang meluas telah dilaksanakan untuk merangsang pemulihan ekonomi A.S.
4. Apakah faktor yang boleh menyebabkan berlakunya kemerosotan ketara terhadap ekonomi global?
Terdapat tiga risiko utama yang boleh menyebabkan berlakunya kemerosotan ketara terhadap ekonomi global, iaitu:
(i) Tekanan inflasi yang meningkat
Jika konflik geopolitik antara Rusia dan Ukraine semakin meruncing dan tetap berlarutan, ia mungkin akan terus mengganggu bekalan komoditi penting seperti gas asli, minyak mentah, gandum dan kacang soya sekali gus menyebabkan peningkatan tekanan inflasi kepada banyak negara. Selain itu, meskipun penghapusan sekatan pandemik oleh Negara China baru-baru ini mendorong harapan untuk pemulihan ekonominya, namun dalam masa sama, peningkatan dalam permintaan negara tersebut untuk tenaga dan bahan mentah juga boleh membawa kepada inflasi yang lebih tinggi.
(ii) Kadar faedah yang tinggi
Kedua, untuk membendung peningkatan kadar inflasi, bank pusat global (contoh: Rizab Persekutuan A.S. atau Fed) akan mengetatkan dasar monetari melalui kenaikan kadar faedah secara mendadak, sekali gus menjadikan kadar pinjaman lebih mahal buat pengguna dan syarikat. Kenaikan kadar faedah yang lebih tinggi ini berpotensi melemahkan aktiviti ekonomi lebih daripada yang dijangkakan.
(iii) Risiko terhadap ekonomi Negara China
Walaupun Negara China baru-baru ini telah menghapuskan dasar sifar Covidnya, namun peningkatan jangkitan mungkin akan mendorong kerajaan berkenaan untuk mengenakan semula sekatan pergerakan di bandar-bandar China terpilih. Di samping itu, pelaksanaan sekatan perdagangan di sebalik konflik perdagangan yang tegang antara A.S. – Negara China juga boleh mempengaruhi aktiviti-aktiviti pembuatan di Negara China. Sebagai hab pembuatan global dan pasaran pengguna yang semakin penting, kelembapan ketara dalam ekonomi Negara China akan menimbulkan risiko penurunan kepada pertumbuhan global.
5. Apakah yang boleh dilakukan oleh bank pusat dan pihak kerajaan apabila kemerosotan ketara berlaku?
Sekiranya berlaku kemerosotan ketara, bank pusat dan kerajaan biasanya akan melonggarkan dasar monetari (contoh: menurunkan dasar kadar faedah) dan dasar fiskal mengembang (contoh: meningkatkan perbelanjaan kerajaan). Misalnya, semasa mengalami GFC pada tahun 2008-2009, Fed telah menurunkan kadar dana Fed secara mendadak daripada 5.25% kepada rekod terendah iaitu 0.25% dan kerajaan A.S. telah melancarkan langkah rangsangan fiskal untuk membantu ekonomi A.S. kembali pulih daripada GFC.
Dengan inflasi kini berada pada paras tertinggi dalam tempoh empat dekad, langkah Fed yang mengetatkan kadar faedah secara agresif untuk membendung inflasi mungkin akan menyebabkan ekonominya menjadi perlahan lebih daripada yang dijangkakan.
Walau bagaimanapun, jika ekonomi A.S. kekal lemah, Fed boleh memperlahankan kenaikan kadar dana Fednya, berhenti seketika atau mereka juga boleh mula mengurangkan kadar dana Fed.
Pada masa sama, kerajaan A.S. juga mungkin boleh memperkenalkan langkah rangsangan fiskal baharu sekiranya ekonominya berdepan kemerosotan yang ketara. Sebagai contoh, semasa pandemik Covid-19, kerajaan A.S. telah melancarkan rangsangan fiskal berjumlah AS$5.5 trilion untuk membantu meningkatkan perbelanjaan pengguna dan pelaburan di A.S.
6. Pelabur ekuiti harus kekal melabur untuk jangka masa panjang
Tidak kira apa jua keadaan pasaran sama ada dalam keadaan pemulihan bertahap mahupun kemerosotan ketara, pelabur ekuiti seharusnya kekal melabur sepanjang kitaran ekonomi. Dalam tempoh tiga dekad yang lalu sejak tahun 1990, walaupun terdapat beberapa krisis ekonomi dan kewangan, pasaran ekuiti global (seperti yang diproksi oleh Indeks S&P Global 1200) dilihat telah pulih daripada kemelesetan pasaran jangka pendek (Rajah 3).
Kesimpulan
Jangkaan mengenai pemulihan bertahap atau kemerosotan ketara bagi ekonomi global boleh menjejaskan pasaran ekuiti dalam tempoh terdekat. Namun begitu, memandangkan pasaran ekuiti cenderung untuk menjadi cerminan kepada asas ekonomi jangka panjang, pelabur dana ekuiti digalakkan untuk mengamalkan perspektif pelaburan jangka panjang untuk kekal melabur dengan mengamalkan Pemurataan Kos Ringgit (RCA) dalam usaha untuk mengharungi kitaran ekonomi dan pasaran.
|