Dolar A.S. (USD) merupakan salah satu daripada beberapa mata wang yang telah mengukuh berbanding kebanyakan mata wang utama pada tahun 2022. Berbanding mata wang Ringgit, nilai USD telah meningkat sebanyak 5.7% kepada RM4.40 bagi setiap USD sepanjang tahun tersebut.
Pergerakan USD yang juga dikenali sebagai greenback ini dipantau rapat oleh pelabur global memandangkan pelaburan mereka sering didenominasi dalam mata wang yang dipengaruhi trend USD. Bagi pengguna dan syarikat korporat pula, USD memainkan peranan penting sebagai mata wang yang digunakan secara meluas dalam menguruskan urus niaga barangan dan perkhidmatan di peringkat antarabangsa. Tambahan lagi, komoditi utama (contohnya minyak mentah dan produk pertanian) juga dinilai dalam USD.
Dalam Soalan Lazim kali ini, kami akan menjelaskan mengenai trend semasa Dolar A.S., pemacu utamanya dan implikasinya kepada pelabur.
1. Apakah trend USD sejak beberapa tahun kebelakangan ini?
Sepanjang tempoh 10 tahun dari 2012 hingga 2021, Indeks USD yang menjadi ukuran nilai USD berbanding kebanyakan mata wang utama, telah mencatatkan keuntungan sebanyak 1.8% setahun (Jadual 1). Semasa tempoh ini, ekonomi negara Amerika berkembang dengan purata sebanyak 2.1% setahun di sebalik persekitaran kadar faedah yang rendah.
Susulan kenaikan sebanyak 6.4% pada 2021, Indeks USD terus meningkat sebanyak 8.2% pada 2022 (Jadual 1). Berbanding mata wang individu, nilai dolar A.S. telah meningkat berbanding mata wang Yen Jepun sebanyak 14.5%, berbanding Renminbi Negara China sebanyak 8.9% dan berbanding Euro sebanyak 6.1% pada 2022 (Rajah 1).
Jadual 1: Prestasi Dolar A.S.
|
CAGR 10 tahun^
|
2020
|
2021
|
2022
|
Indeks Dolar A.S.
|
1.8%
|
-6.7%
|
+6.4%
|
+8.2%
|
Sumber: Bloomberg ^ Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkompaun (CAGR) 2012-2021
2. Mengapa USD mengukuh pada tahun 2022?
Nilai USD meningkat berbanding kebanyakan mata wang utama pada tahun 2022 susulan tiga faktor utama yang berikut:
(a) Kenaikan kadar faedah A.S. yang bergerak pantas Untuk membendung tekanan inflasi di A.S., Rizab Persekutuan (Fed) telah meningkatkan Kadar Dana Persekutuan (FFR) secara agresif sebanyak 425 mata asas (bps) kepada 4.50% pada 2022. Sebagai perbandingan, walaupun kebanyakan negara lain juga telah menaikkan kadar faedah masing-masing, namun kenaikannya tidak setinggi kenaikan kadar Fed. Memandangkan pasaran kewangan A.S. menawarkan hasil yang lebih menarik melalui Perbendaharaan (Treasuries), bon korporat dan deposit berbanding sekuriti luar pesisir mereka, peningkatan permintaan daripada pelabur global untuk aset A.S. berkenaan telah membantu nilai USD untuk meningkat.
(b) Permintaan wang simpanan yang selamat Secara amnya, USD dianggap sebagai mata wang simpanan yang selamat dalam tempoh ketaktentuan ekonomi global dan geopolitik yang semakin memuncak kerana pelabur global ingin mengehadkan pendedahan kepada mata wang yang lebih berisiko selain USD. Misalnya, susulan pencerobohan Rusia terhadap Ukraine pada 24 Februari 2022, Indeks USD telah meningkat sebanyak 18.6% kepada paras tertinggi sejak 36 tahun lalu kepada 114.1 pada 12 Oktober 2022 sebelum mengakhiri tahun tersebut dengan perolehan sebanyak 8.2% pada 103.5 setakat akhir Disember 2022.
(c) Asas-asas relatif ekonomi A.S. Pengukuhan relatif USD pada 2022 juga disokong oleh jangkaan bahawa ekonomi A.S. kurang terjejas oleh lonjakan harga tenaga berbanding ekonomi utama lain seperti Zon Eropah dan Jepun yang merupakan pengimport minyak dan gas asli. Walaupun harga gasolin di A.S. telah mengakibatkan peningkatan kos sara hidup dalam kalangan pengguna Amerika, namun A.S. tetap kekal sebagai salah satu pengeluar minyak mentah utama di dunia.
3. Mengapa USD menguncup baru-baru ini?
Indeks USD telah menguncup sebanyak 8.6% bermula pertengahan Oktober 2022 sehingga akhir Disember 2022 susulan jangkaan bahawa Fed akan memperlahankan kenaikan kadar faedahnya berikutan penyederhanaan dalam kadar inflasi bulanan A.S. daripada paras tertinggi tahun tersebut iaitu sebanyak 9.1% pada Jun 2022 kepada 6.5% pada Disember 2022.
4. Apakah impak USD yang kukuh terhadap ekonomi global?
(a) Kos import dan inflasi yang lebih tinggi untuk negara-negara lain Memandangkan kebanyakan komoditi dunia dinilai dalam USD, USD yang lebih kukuh akan meningkatkan kos barangan import untuk negara lain seterusnya mengakibatkan inflasi domestik yang lebih tinggi. Sebagai contoh, kos makanan dan utiliti yang lebih tinggi telah menyebabkan kadar inflasi Malaysia meningkat ke paras tertinggi sejak 16 bulan lalu iaitu 4.7% pada Ogos 2022 berbanding purata sejarah selama 10 tahunnya iaitu 1.8%.
(b) Kos perkhidmatan hutang USD yang lebih tinggi Nilai USD yang lebih kukuh juga meningkatkan kos hutang untuk peminjam yang membuat pinjaman yang didenominasi USD. Memandangkan pinjaman dalam denominasi USD perlu dibayar dalam USD, nilai USD yang semakin meningkat menjadikan perkhidmatan pinjaman tersebut lebih mahal. Oleh itu, negara atau syarikat yang mempunyai bahagian hutang yang besar dan nilai hutang tersebut didenominasi USD akan tertekan dari segi kewangan apabila mata wang mereka susut nilai berbanding USD.
5. Bagaimana pergerakan USD memberi impak terhadap pelaburan dana anda?
Prestasi dana yang dilaburkan dalam pasaran A.S. dipengaruhi oleh pergerakan USD berbanding Ringgit apabila dana pelaburan yang didenominasi USD ditukar kepada nilai Ringgit.
Secara amnya, apabila nilai USD meningkat berbanding Ringgit, dana yang melabur dalam aset yang didenominasi USD bakal merekodkan pulangan yang lebih tinggi dalam nilai Ringgit dan begitu juga sebaliknya.
Contohnya, bagi tahun 2022, Indeks S&P 500 mencatatkan kerugian yang lebih kecil sebanyak 14.7% dalam nilai Ringgit berbanding kejatuhan indeks tersebut sebanyak 19.4% dalam mata wang asas USD (Rajah 4).
|
2019
|
2020
|
2021
|
2022
|
RM untuk setiap USD (%)
|
-1.0%
|
-1.7%
|
+3.6%
|
+5.7%
|
Sumber: Bloomberg
Laporan tentang pulangan berdasarkan Ringgit bagi pasaran ekuiti utama boleh diperoleh dalam laporan Semakan Dana Bulanan kami dan pelabur boleh mendapatkannya di portal Public Mutual Online (PMO). Data pasaran berdasarkan Ringgit ini bermanfaat untuk pelabur tempatan menilai pulangan pelaburan mereka dalam pasaran asing selepas mengira perbezaan dalam kadar penukaran mata wang masing-masing.
Kesimpulan
Rumusannya, pergerakan USD boleh memberi impak kepada pulangan dana apabila pelaburan dalam aset kewangan A.S. diterjemahkan kepada mata wang Ringgit. Untuk jangka pendek, pergerakan mata wang mungkin menjadi tak menentu disebabkan pelbagai faktor (misalnya perubahan kadar faedah A.S. dan permintaan wang simpanan yang selamat).
Walau bagaimanapun, pelabur jangka panjang yang melabur dalam portfolio terpelbagai merentasi pasaran global, rantau dan domestik seharusnya berada pada posisi yang lebih baik untuk mengharungi ketaktentuan pergerakan mata wang.
|