Learning Hub
ENG
BM
CHI
Pemikiran kelompok (herd mentality) adalah tingkah laku yang menunjukkan seseorang itu mengikut dan meniru tindakan orang lain.
Dalam pelaburan, tingkah laku ini dapat diperhatikan dalam kalangan pelabur terutamanya semasa tempoh kemerosotan pasaran. Semasa tempoh ini, pelabur cenderung untuk menjual pelaburan mereka kerana terpengaruh dengan tindakan pelabur lain di samping terikut-ikut dengan perasaan takut serta bimbang.
Ikut orang ramai secara melulu
Terpengaruh dengan pemikiran kelompok mungkin kelihatan seperti tidak rasional. Namun, keputusan pelaburan pelabur mungkin mudah dipengaruhi oleh emosi mereka selain pengaruh orang sekeliling seperti laporan media dan perbincangan orang di sekeliling mereka. Jika digabungkan kesemua faktor tersebut, pelabur mungkin percaya bahawa mereka akan berdepan kerugian besar sekiranya mereka meneruskan pelaburan mereka. Tetapi pada penghujungnya, mereka pasti akan sedar bahawa mereka sedang berdepan kerugian kerana mereka telah menjual pelaburan masing-masing pada harga yang lebih rendah.
|

Walau bagaimanapun, pelabur haruslah sedar bahawa pasaran sememangnya tak menentu. Dalam tempoh 20 tahun yang lalu, berlakunya tempoh ketaktentuan pasaran yang meningkat disamping faktor-faktor jangka pendek seperti serangan 11 September, krisis kewangan global, krisis hutang kerajaan Eropah, kelembapan ekonomi di Negara China, perang perdagangan Amerika Syarikat (A.S.) – Negara China, pandemik Covid-19, konflik Rusia-Ukraine dan peningkatan inflasi.
|
|
Bahkan, pelabur yang telah menebus pelaburan mereka semasa kemerosotan pasaran kerana mengikut tindakan orang ramai mungkin akan terlepas peluang untuk memanfaatkan pemulihan pasaran memandangkan tempoh lantunan semula pasaran mungkin berlaku terlalu pantas untuk memberi mereka ruang memasuki semula pasaran.
Untuk mengelak daripada terpengaruh dengan pemikiran kelompok, pelabur haruslah kekal berdisiplin dan fokus pada matlamat jangka panjang mereka. Pelabur yang mengamalkan tempoh pelaburan jangka panjang dan terus melabur secara tetap dan konsisten cenderung untuk mendapat manfaat apabila pasaran kembali pulih.
|
Mengamalkan strategi Pemurataan Kos Ringgit (RCA) untuk elakkan gangguan emosi semasa tempoh pelaburan
Antara kaedah lain yang boleh membantu pelabur elakkan gangguan emosi semasa tempoh pelaburan adalah mengamalkan strategi RCA.
Kaedah ini membolehkan pelabur untuk membuat purata kos pelaburan mereka dari semasa ke semasa dengan melaburkan jumlah Ringgit yang tetap ke dalam pelaburan unit amanah dalam sela masa yang tetap. Dengan ini, mereka akan membeli lebih banyak unit apabila harga jatuh dan begitu juga sebaliknya ketika harga meningkat.
Strategi yang terbukti berkesan ini turut membolehkan pelabur untuk melalui ketaktentuan pasaran dalam usaha untuk mencapai pertumbuhan modal jangka panjang dengan mengguna pakai pendekatan yang berdisiplin dan tidak mengikut emosi semasa melaksanakan pelaburan.
|
Artikel ini disediakan semata-mata untuk tujuan pendidikan dan kesedaran serta tidak boleh dianggap sebagai satu tawaran atau usaha mendapatkan satu tawaran untuk membeli atau melanggan produk yang ditawarkan oleh Public Mutual. Tiada sebarang perwakilan atau jaminan dibuat oleh Public Mutual, dan Public Mutual tidak menerima sebarang tanggungjawab atau liabiliti berhubung kait dengan ketepatan, kesempurnaan atau kesesuaian maklumat yang terkandung di dalamnya.