Learning Hub
Kepentingan mempertimbangkan aspek jangka panjang: Turun Naik Pasaran, Virus, Kadar Faedah, Peperangan & Lain-lain
Turun naik pasaran merupakan situasi yang tidak dapat dielakkan. Bahkan, pelbagai faktor boleh memberi impak terhadap pergerakan pasaran saham antaranya krisis kesihatan global seperti Covid-19 dan perubahan kepada keadaan ekonomi seperti inflasi dan kenaikan kadar faedah, ketegangan geopolitik dan peperangan.
Memandangkan ekonomi global telah beransur pulih daripada pandemik berikutan beberapa faktor antaranya pemansuhan sekatan pergerakan, permintaan terpendam (pent-up demand) dan gangguan rantaian bekalan di seluruh dunia telah bergabung dan merangsang inflasi. Untuk membendung tekanan inflasi, bank-bank utama dijangka secara meluas akan menaikkan kadar faedah dan menormalkan dasar monetari mereka. Ia seterusnya mengakibatkan ketaktentuan yang tinggi dalam pasaran global. Selain itu, ketaktentuan pasaran menjadi lebih teruk apabilanya berlaku pencerobohan tentera Rusia ke atas Ukraine baru-baru ini.
Pasaran ekuiti tidak pernah bergerak seiring secara berterusan. Sebaliknya, pasaran mungkin memberi tindak balas negatif terhadap kejutan jangka pendek. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pasaran akhirnya mencerminkan asas ekonomi dan pertumbuhan pendapatan mereka.
Sebagi contoh, susulan krisis kewangan Asia pada tahun 1997 dan krisis kewangan global pada tahun 2008, pasaran ekuiti bukan sahaja telah pulih daripada kerugian, tetapi terus mencatatkan keuntungan yang lebih besar selepas itu. Pada Mac 2020, pasaran ekuiti merundum di sebalik ketaktentuan pasaran susulan penyebaran coronavirus di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, ia kembali pulih ke tahap pra pandemik kerana aktiviti ekonomi mula pulih berikutan pakej rangsangan dan pelonggaran dasar monetari oleh kerajaan di seluruh dunia.
Apabila berdepan keadaan pasaran yang tak menentu, pelabur cenderung untuk bimbang sekali gus mengakibatkan mereka membuat keputusan yang kurang tepat seperti membuat pengeluaran semasa kemerosotan pasaran. Ini mungkin memberi kesan buruk kepada keadaan kewangan pelabur kerana kemelesetan pasaran cenderung menawarkan peluang pelaburan yang berpotensi untuk mengumpul saham yang jatuh di bawah nilai asas mereka. Sekiranya pelabur tarik diri daripada meneruskan pelaburan, pelabur ini mungkin terlepas peluang untuk membeli.
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa menjual dan membeli di bawah pengaruh emosi boleh mengurangkan potensi pulangan pelabur. Untuk mendapat manfaat daripada dana ekuiti, pelabur perlu ingat bahawa pulangan dana ini adalah hasil daripada disiplin diri untuk terus melabur dalam jangka masa panjang. Disiplin ini membolehkan pelabur mengharungi ketaktentuan pasaran jangka pendek sambil memanfaatkan potensi pertumbuhan jangka panjang bagi syarikat-syarikat tempat dana dilaburkan. Dalam kata lain, pelabur perlu bersabar untuk membolehkan pelaburan mereka berkembang dari semasa ke semasa.
Berikut merupakan manfaat melaksanakan pelaburan untuk tempoh jangka panjang:
Kesan Pengkompaunan
Tempoh pelaburan yang lebih panjang membolehkan pelabur untuk memanfaatkan sepenuhnya kuasa pengkompaunan ke atas pelaburan mereka. Ia diibaratkan seperti sebuah bola salji yang bergolek menuruni bukit. Saiznya semakin besar memandangkan salji terus melekat pada bola salji berkenaan. Sama seperti bola salji semasa perjalanannya menuruni bukit untuk membentuk bongkah salji gergasi, pulangan pelaburan akan dikompaun apabila keuntungan modal atau pengagihan pendapatan dilaburkan semula dari semasa ke semasa untuk menjana keuntungan yang lebih besar bagi akaun pelabur. Oleh itu, lebih lama pelabur kekal melabur, lebih besar potensi pulangan yang mungkin mereka peroleh daripada pelaburan mereka.
Beri ruang untuk syarikat berkembang
Pada tahun 1997, Apple Inc. berada di ambang muflis. Sekiranya pelabur terdahulu mengeluarkan pelaburan mereka ketika syarikat berada pada paras paling rendah, mereka tidak dapat meraih ganjaran daripada pelaburan mereka apabila Apple berkembang menjadi sebuah syarikat yang paling bernilai di dunia. Apabila melabur dalam dana ekuiti, pelabur harus ingat bahawa syarikat di mana dana itu dilaburkan mengambil masa untuk berkembang dan matang. Dalam situasi ini, apa yang pelabur perlu lakukan ialah menetapkan matlamat pelaburan mereka, mengenal pasti tahap toleransi risiko mereka, memilih dana yang sesuai dengan matlamat pelaburan dan profil risiko mereka dan fokus pada matlamat jangka panjang mereka tanpa terganggu dengan pergerakan pasaran jangka pendek.
Kawal emosi semasa melaksanakan pelaburan
Dalam berdepan ketaktentuan pasaran yang tinggi, adalah mencabar untuk pelabur kekal rasional dan tenang. Salah satu kesilapan yang biasa dilakukan oleh pelabur apabila mereka dipengaruhi oleh emosi adalah mereka ‘beli pada harga yang tinggi dan jual pada harga yang rendah’. Situasi ini cenderung melumpuhkan pulangan pelabur kerana pelabur akan membeli lebih banyak unit ketika harga naik ke paras tertinggi dan menjual pelaburan mereka ketika harga rendah kerana ketakutan. Sebaliknya, pelabur dinasihatkan untuk melabur bagi tempoh jangka panjang dan menggunakan pendekatan Pemurataan Kos Ringgit (RCA) yang membolehkan pelabur untuk melabur dalam unit amanah pada jumlah dan selang masa yang tetap tanpa mengambil kira paras tinggi dan rendah pasaran. Strategi ini membolehkan pelabur untuk membuat purata kos pelaburan mereka dari semasa ke semasa sambil mengawal emosi semasa melabur, kerana pelan caruman tetap yang konsisten dapat membantu pelabur mengelak daripada membuat keputusan tergesa-gesa susulan turun naik pasaran jangka pendek.
Kekalkan kos pada tahap minimum
Kekal melabur untuk tempoh jangka panjang dapat membantu pelabur mengekalkan kos pelaburan mereka pada tahap minimum dan memanfaatkan sepenuhnya pulangan mereka. Sebaliknya, pelabur yang sering melakukan tukar ganti antara dana dalam usaha untuk meningkatkan pulangan mereka mungkin terpaksa menanggung kos tambahan untuk urus niaga tersebut.
Kunci untuk pelaburan adalah kekal fokus pada objektif pelaburan dan sentiasa pastikan emosi anda berada dalam keadaan terkawal semasa tempoh turun naik pasaran yang tinggi. Oleh itu, daripada membeli dan menjual di bawah pengaruh emosi, pelabur harus menggunakan pendekatan pelaburan jangka panjang dan membenarkan pelaburan mereka berkembang dari semasa ke semasa.
Bahan ini disediakan semata-mata untuk tujuan pendidikan dan kesedaran dan tidak boleh dianggap sebagai satu
tawaran atau usaha mendapatkan satu tawaran untuk membeli atau melanggan produk yang ditawarkan oleh Public Mutual. Tiada sebarang perwakilan atau jaminan dibuat oleh Public Mutual, dan Public Mutual tidak menerima sebarang tanggungjawab atau liabiliti berhubung kait dengan ketepatan, kesempurnaan atau kesesuaian maklumat yang terkandung di dalamnya.